Saturday, October 23, 2010

Pengenalan Kepada Pulau-Pulau di Malaysia

Blog ini diuat bagi memenuhi kerja kursus kursus bahasa melayu untuk pengurusan. Di samping itu, Blog ini menerangkan mengenai pengenalan kepada pulau-pulau yang terdapat di Malaysia, sejarah pulau-pulau, apa yang terdapat di pulau tersebut?, dan apa sahaja mengenai pulau tersebut. Blog ini juga memberitahu kepada pembaca tentang pulau-pulau yang terdapat di Malaysia. Ramai masyarakat di dalam negara dan luar negara tidak mengetahui pulau-pulau yang tidak terkenal, malahan  mereka hanya mengetahui pulau yang terkenal sahaja. Masyarakat sekarang juga hanya mengetahui nama pulau sahaja, mereka tidak mengenali pulau-pulau ini secara mendalam. Oleh itu, blog ini akan menerangkan mengenai pulau-pulau yang terdapat di Malaysia.

Friday, October 22, 2010

Pulau Pangkor

 Pengenalan Pulau Pangkor


      Pulau Pangkor dengan kombinasi perkampungan nelayan yang mempesonakan serta penginapan yang mewah merupakan destinasi percutian yang mengagumkan dan mudah dikunjungi. Pulau Pangkor memberi pelawat peluang untuk menginap di tempat penginapan berhampiran dengan perkampungan nelayan bagi membolehkan mereka memerhatikan cara hidup para nelayan sambil menikmati keindahan pantai atau memilih kemudahan penginapan  yang tersedia di situ.

       Penduduk di sini tinggal di beberapa perkampungan nelayan yang bertaburan di sebelah Timur pulau ini yang bertentangan dengan pekan Lumut dan Teluk Batik. Pelawat juga berpeluang melihat perkampungan ini sewaktu perjalanan feri dari Lumut yang mengambil masa selama 40 minit kerana feri ini singgah di kawasan penempatan utama iaitu Sungai Pinang Kecil dan Sungai Pinang Besar sebelum berhenti di pekan Pulau Pangkor.

       Dua pantai yang popular di Pulau Pangkor iaitu pantai Pasir Bogak dan pantai Teluk Nipah menawarkan aktiviti-aktiviti seperti menyelam skuba, berenang snokel, bermain papan luncur air dan memancing kepada mereka yang gemarkan sinaran matahari dan lautan biru. walaupun Pantai Pasir Bogak telah banyak membangun namun Teluk Nipah masih lagi mengekalkan suasana perkampungannya. Teluk Ketapang atau Turtle Bay masih lagi menerima kedatangan penyu laut yang tiba di sini untuk bertelur. Ada juga antara penginapan di pulau ini yang menawarkan kemudahan padang golf yang hebat.

  Pakej Yang Terdapat Di Pulau Pangkor

Pakej-Pakej Penginapan
Terdapat pelbagai jenis penginapan disediakan di dua pantai perkelahan utama Pulau Pangkor iaitu  Pasir Bogak dan Teluk Nipah. Pasir Bogak menawarkan bilik hotel,  dan calet manakala Teluk Nipah pulau menawarkan beratus-ratus calet yang bercirikan senibina Melayu yang eksotik. Pakej-pakej yang ditawarkan termasuk Pakej Percutian (individu, pasangan, keluarga), Pakej Seminar, Pakej Kumpulan, Pakej Hari Keluarga (Insentif), Pakej Melancong dan Pakej Aktiviti.

 Pakej Percutian
 
Pulau Pangkor sebuah pulau di perairan Selat Melaka. Ia memiliki pantai-pantai yang indah dan bersih serta laut yang jernih biru kehijauan. Amat sesuai bagi mereka yang mencari kedamaian. Hotel dan calet banyak terdapat di dua pantai tumpuan utama pelancong iaitu Pasir Bogak dan Teluk Nipah. Pelbagai pilihan penginapan disediakan untuk semua golongan, sama ada yang datang bersendirian, bersama keluarga, rakan-rakan, hinggalah kepada kumpulan yang lebih besar (hari keluarga, percutian kakitangan syarikat swasta atau kerajaan).





Pakej Seminar / Persidangan / Mesyuarat

  Hotel-hotel bertaraf bintang di Pasir Bogak dan Teluk Dalam yang menyediakan pelbagai kemudahan seminar, persidangan dan mesyuarat untuk bilangan peserta sehingga 300 orang. Pelbagai pakej boleh menjadi pilihan anda. Kumpulan kecil dengan baget ekonomi boleh memilih Teluk Nipah yang menyediakan penginapan yang selesa.






Kem / Kursus / Riadah

Pulau Pangkor unik dengan kekayaan alam semulajadi yang terpelihara semenjak zaman berzaman. Hutan dara menyediakan laluan mencabar bagi peminat mendaki bukit . Banyak penginapan  dengan kemudahan dewan, sajian makanan, aktiviti dan sebagainya. 









Pulau Payar


Pengenalan Pulau Payar 


     Taburan pulau-pulau kecil yang membentuk Pulau Payar terletak hanya 30 km ke tenggara Pulau Langkawi. Taman Laut terhebat di pantai barat Semenanjung ini boleh dikunjungi dengan bot dalam tempoh satu jam sahaja menjadikannya destinasi yang sesuai untuk lawatan sehari. 

     Taman Laut terlindung yang tidak diduduki manusia ini merangkumi beberapa buah pulau termasuk pulau yang terbesar Pulau Payar. Tapak lawatan anda di sini merupakan sebuah platform yang didirikan tidak jauh dari Pulau Payar. Tetapi tarikan sebenar terselindung di dalam perairan sekelilingnya. Masuk ke dalam ruang pemerhatian bawah laut yang terdapat di sini untuk melihat keindahan hidupan laut di sekitar kawasan terumbu karang. Ingin melihat ikan-ikan yang menjadikan terumbu karang ini tempat tinggal mereka dengan lebih dekat lagi .  Kenakan kelengkapan snorkeling dan terjun ke laut untuk melihat sendiri.

      Tapak selaman terhebat terletak di sepanjang jalinan terumbu karang yang memagari bahagian selatan, timur dan barat Pulau Payar. Pastikan anda tanya pengendali selaman anda mengenai jarak penglihatan yang dijangka ketika selaman anda. Jarak ini berubah dari masa ke semasa. 

     Pulau Payar tidak mempunyai sebarang kemudahan penginapan memandangkan ianya sebuah kawasan semulajadi yang dilindungi, tetapi ini tidak menjadi masalah kerana Pulau Langkawi terletak tidak jauh dari sini dan menawarkan pelbagai pilihan tempat tinggal dan restoran.

Pulau Tiga

               Pengenalan Pulau Tiga


Pulau Tiga adalah pulau terbesar di antara tiga pulau yang membentuk Taman Laut Pulau Tiga. Pemandangan indah dan persekitaran yang bersih telah menarik minat Rangkaian TV CBS dari Amerika untuk menggunakan pulau ini sebagai lokasi utama bagi penggambaran rancangan 'Survivor' yang popular lantas memberikan gelaran 'Survivor Island' kepada pulau ini. 
Pulau ini terbentuk selepas ledakan beberapa buah gunung berapi lumpur. 

      Ledakan terakhir berlaku pada tahun 1941 dan sejak itu, gunung berapi lumpur tersebut telah kekal pasif. Beberapa buah lahang yang mengeluarkan lumpur mengandungi mineral yang tinggi dan masih boleh ditemui berhampiran puncak tertinggi di pulau ini. Kepercayaan yang lumpur ini baik untuk kulit menjadikan aktiviti bermandi lumpur sangat terkenal di pulau ini. 

     Hutan hijau yang tebal di pulau ini menyediakan perlindungan yang nyaman, sementara pasir pantai yang halus dan putih serta air laut yang jernih menggamit pelawat ke sini. Terumbu karang di sekeliling pulau ini memberi perlindungan kepada pelbagai spesis ikan dan hidupan laut yang lain. Antara aktiviti yang menanti anda di sini termasuk menyelam skuba, sukan air tidak bermotor, meneroka hutan, melihat burung dan mandi lumpur.

Pulau Lankayan


Pengenalan Pulau Lankayan

Pulau ini hanya mempunyai satu pusat selaman skuba di Laut Sulu Malaysia yang dinamakan Lankayan Island Dive Resort dan merupakan salah satu tempat terbaik untuk melihat jerung paus. 

Kedudukan jerung paus ini selalunya ditanda dengan kehadiran sekumpulan burung laut yang berlegar-legar di kawasan air laut yang tenang. Penyelam mungkin sempat mendekati haiwan raksasa yang tidak merbahaya ini tetapi selalunya haiwan ini tidak menunggu lama di satu-satu tempat. 

Pada waktu siang, anda boleh memerhati ikan yu sirip hitam berenang berhampiran pantai. Di sebelah malam pula Penyu Karah dan Penyu Agar boleh dilihat naik ke pantai. Terdapat juga kawasan yang dipenuhi pelbagai jenis terumbu karang lembut dan keras yang berwarna-warni di sini iaitu habitat yang sesuai untuk ikan-ikan kecil. 

Salah satu dari 40 tapak selaman skuba yang terdapat di sini ialah Lankayan Wreck di mana bangkai sebuah kapal menunda ikan boleh di terokai penyelam. 

Bangkai kapal ini menjadi tempat kediaman pelbagai jenis ikan dari yang sekecil  hingga ikan pertang dan ikan pari.

Walaupun terpencil, pulau ini mempunyai semua kemudahan sebagai sebuah penginapan  tropika. Pelawat boleh bermalam di banglo kayu yang dibina di celah-celah pokok di pinggiran hutan berhadapan pantai. 

Sememangnya, Lankayan bukan sahaja destinasi bagi penyelam skuba, malahan bagi sesiapa sahaja yang menghargai ketenangan sebuah pulau yang aman yang menawarkan pemandangan matahari terbit dan tenggelam yang mempesona dan pemandangan laut yang hebat.

Pulau Layang- Layang

Pengenalan Pulau Layang Layang

 
Pulau Layang Layang menjadi destinasi selaman skuba yang terkemuka di Malaysia selain Pulau Sipadan. Pulau karang ini terletak di lautan terbuka Laut China Selatan kira-kira 300 km ke barat laut Kota Kinabalu iaitu ibu negeri Sabah. 

Kawasan kecil ini menampung penginapan yang mempunyai 90 buah bilik mewah, sebuah pengkalan tentera laut Malaysia dan menjadi tempat koloni burung laut yang berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain mengikut musim untuk bersarang. Topografi terumbu karang di sini terbentuk dari batu karang keras yang subur dan ada di antaranya yang terletak di kawasan sangat cetek sehingga terdedah kepada udara sewaktu air surut, tetapi kebanyakannya bermula pada kedalaman kira-kira 5 meter hinggalah di dasar laut. 

Antara hidupan laut yang sering kelihatan di 14 tapak selaman skuba di sini termasuk ikan yu sirip hitam, jerung , ikan alu-alu, ikan cermin,  penyu, dan sebagainya.

Pulau Mabul


Pengenalan  Pulau Mabul



Pulau Mabul dikatakan salah satu lokasi fotografi makro terhebat di dunia. Pulau ini yang terletak di perairan jernih Laut Sulawesi tidak jauh dari pantai Sabah di kelilingi terumbu karang yang  sedalam 2 hingga 40 meter. 

Pulau seluas 21 hektar ini lebih besar dari Pulau Sipadan dan menjadi tempat tinggal kaum Bajau Laut yang merupakan salah satu etnik  rakyat pribumi Negeri Sabah. 

Menyelam skuba adalah aktiviti utama di pulau ini dan selaman boleh dijalankan sepanjang tahun. Antara hidupan laut yang terdapat di sini ialah kuda laut, tapak sulaiman,   dan belut ular. Terdapat lebih dari lapan tapak selaman yang popular di sini di mana setiap satu dengan kelebihannya yang tersendiri. 

Terdapat tiga buah penginapan di sini yang menyediakan tempat penginapan untuk penyelam skuba  dua terletak di pulau ini sementara satu lagu terletak di atas sebuah pelantar minyak yang telah diubahsuai kira-kira 500 meter dari pinggir pantai. Kesemua penginapan ini boleh mengatur lawatan sehari ke pulau yang berdekatan iaitu Pulau Sipadan dan Kapalai.