Saturday, October 23, 2010

Pengenalan Kepada Pulau-Pulau di Malaysia

Blog ini diuat bagi memenuhi kerja kursus kursus bahasa melayu untuk pengurusan. Di samping itu, Blog ini menerangkan mengenai pengenalan kepada pulau-pulau yang terdapat di Malaysia, sejarah pulau-pulau, apa yang terdapat di pulau tersebut?, dan apa sahaja mengenai pulau tersebut. Blog ini juga memberitahu kepada pembaca tentang pulau-pulau yang terdapat di Malaysia. Ramai masyarakat di dalam negara dan luar negara tidak mengetahui pulau-pulau yang tidak terkenal, malahan  mereka hanya mengetahui pulau yang terkenal sahaja. Masyarakat sekarang juga hanya mengetahui nama pulau sahaja, mereka tidak mengenali pulau-pulau ini secara mendalam. Oleh itu, blog ini akan menerangkan mengenai pulau-pulau yang terdapat di Malaysia.

Friday, October 22, 2010

Pulau Pangkor

 Pengenalan Pulau Pangkor


      Pulau Pangkor dengan kombinasi perkampungan nelayan yang mempesonakan serta penginapan yang mewah merupakan destinasi percutian yang mengagumkan dan mudah dikunjungi. Pulau Pangkor memberi pelawat peluang untuk menginap di tempat penginapan berhampiran dengan perkampungan nelayan bagi membolehkan mereka memerhatikan cara hidup para nelayan sambil menikmati keindahan pantai atau memilih kemudahan penginapan  yang tersedia di situ.

       Penduduk di sini tinggal di beberapa perkampungan nelayan yang bertaburan di sebelah Timur pulau ini yang bertentangan dengan pekan Lumut dan Teluk Batik. Pelawat juga berpeluang melihat perkampungan ini sewaktu perjalanan feri dari Lumut yang mengambil masa selama 40 minit kerana feri ini singgah di kawasan penempatan utama iaitu Sungai Pinang Kecil dan Sungai Pinang Besar sebelum berhenti di pekan Pulau Pangkor.

       Dua pantai yang popular di Pulau Pangkor iaitu pantai Pasir Bogak dan pantai Teluk Nipah menawarkan aktiviti-aktiviti seperti menyelam skuba, berenang snokel, bermain papan luncur air dan memancing kepada mereka yang gemarkan sinaran matahari dan lautan biru. walaupun Pantai Pasir Bogak telah banyak membangun namun Teluk Nipah masih lagi mengekalkan suasana perkampungannya. Teluk Ketapang atau Turtle Bay masih lagi menerima kedatangan penyu laut yang tiba di sini untuk bertelur. Ada juga antara penginapan di pulau ini yang menawarkan kemudahan padang golf yang hebat.

  Pakej Yang Terdapat Di Pulau Pangkor

Pakej-Pakej Penginapan
Terdapat pelbagai jenis penginapan disediakan di dua pantai perkelahan utama Pulau Pangkor iaitu  Pasir Bogak dan Teluk Nipah. Pasir Bogak menawarkan bilik hotel,  dan calet manakala Teluk Nipah pulau menawarkan beratus-ratus calet yang bercirikan senibina Melayu yang eksotik. Pakej-pakej yang ditawarkan termasuk Pakej Percutian (individu, pasangan, keluarga), Pakej Seminar, Pakej Kumpulan, Pakej Hari Keluarga (Insentif), Pakej Melancong dan Pakej Aktiviti.

 Pakej Percutian
 
Pulau Pangkor sebuah pulau di perairan Selat Melaka. Ia memiliki pantai-pantai yang indah dan bersih serta laut yang jernih biru kehijauan. Amat sesuai bagi mereka yang mencari kedamaian. Hotel dan calet banyak terdapat di dua pantai tumpuan utama pelancong iaitu Pasir Bogak dan Teluk Nipah. Pelbagai pilihan penginapan disediakan untuk semua golongan, sama ada yang datang bersendirian, bersama keluarga, rakan-rakan, hinggalah kepada kumpulan yang lebih besar (hari keluarga, percutian kakitangan syarikat swasta atau kerajaan).





Pakej Seminar / Persidangan / Mesyuarat

  Hotel-hotel bertaraf bintang di Pasir Bogak dan Teluk Dalam yang menyediakan pelbagai kemudahan seminar, persidangan dan mesyuarat untuk bilangan peserta sehingga 300 orang. Pelbagai pakej boleh menjadi pilihan anda. Kumpulan kecil dengan baget ekonomi boleh memilih Teluk Nipah yang menyediakan penginapan yang selesa.






Kem / Kursus / Riadah

Pulau Pangkor unik dengan kekayaan alam semulajadi yang terpelihara semenjak zaman berzaman. Hutan dara menyediakan laluan mencabar bagi peminat mendaki bukit . Banyak penginapan  dengan kemudahan dewan, sajian makanan, aktiviti dan sebagainya. 









Pulau Payar


Pengenalan Pulau Payar 


     Taburan pulau-pulau kecil yang membentuk Pulau Payar terletak hanya 30 km ke tenggara Pulau Langkawi. Taman Laut terhebat di pantai barat Semenanjung ini boleh dikunjungi dengan bot dalam tempoh satu jam sahaja menjadikannya destinasi yang sesuai untuk lawatan sehari. 

     Taman Laut terlindung yang tidak diduduki manusia ini merangkumi beberapa buah pulau termasuk pulau yang terbesar Pulau Payar. Tapak lawatan anda di sini merupakan sebuah platform yang didirikan tidak jauh dari Pulau Payar. Tetapi tarikan sebenar terselindung di dalam perairan sekelilingnya. Masuk ke dalam ruang pemerhatian bawah laut yang terdapat di sini untuk melihat keindahan hidupan laut di sekitar kawasan terumbu karang. Ingin melihat ikan-ikan yang menjadikan terumbu karang ini tempat tinggal mereka dengan lebih dekat lagi .  Kenakan kelengkapan snorkeling dan terjun ke laut untuk melihat sendiri.

      Tapak selaman terhebat terletak di sepanjang jalinan terumbu karang yang memagari bahagian selatan, timur dan barat Pulau Payar. Pastikan anda tanya pengendali selaman anda mengenai jarak penglihatan yang dijangka ketika selaman anda. Jarak ini berubah dari masa ke semasa. 

     Pulau Payar tidak mempunyai sebarang kemudahan penginapan memandangkan ianya sebuah kawasan semulajadi yang dilindungi, tetapi ini tidak menjadi masalah kerana Pulau Langkawi terletak tidak jauh dari sini dan menawarkan pelbagai pilihan tempat tinggal dan restoran.

Pulau Tiga

               Pengenalan Pulau Tiga


Pulau Tiga adalah pulau terbesar di antara tiga pulau yang membentuk Taman Laut Pulau Tiga. Pemandangan indah dan persekitaran yang bersih telah menarik minat Rangkaian TV CBS dari Amerika untuk menggunakan pulau ini sebagai lokasi utama bagi penggambaran rancangan 'Survivor' yang popular lantas memberikan gelaran 'Survivor Island' kepada pulau ini. 
Pulau ini terbentuk selepas ledakan beberapa buah gunung berapi lumpur. 

      Ledakan terakhir berlaku pada tahun 1941 dan sejak itu, gunung berapi lumpur tersebut telah kekal pasif. Beberapa buah lahang yang mengeluarkan lumpur mengandungi mineral yang tinggi dan masih boleh ditemui berhampiran puncak tertinggi di pulau ini. Kepercayaan yang lumpur ini baik untuk kulit menjadikan aktiviti bermandi lumpur sangat terkenal di pulau ini. 

     Hutan hijau yang tebal di pulau ini menyediakan perlindungan yang nyaman, sementara pasir pantai yang halus dan putih serta air laut yang jernih menggamit pelawat ke sini. Terumbu karang di sekeliling pulau ini memberi perlindungan kepada pelbagai spesis ikan dan hidupan laut yang lain. Antara aktiviti yang menanti anda di sini termasuk menyelam skuba, sukan air tidak bermotor, meneroka hutan, melihat burung dan mandi lumpur.

Pulau Lankayan


Pengenalan Pulau Lankayan

Pulau ini hanya mempunyai satu pusat selaman skuba di Laut Sulu Malaysia yang dinamakan Lankayan Island Dive Resort dan merupakan salah satu tempat terbaik untuk melihat jerung paus. 

Kedudukan jerung paus ini selalunya ditanda dengan kehadiran sekumpulan burung laut yang berlegar-legar di kawasan air laut yang tenang. Penyelam mungkin sempat mendekati haiwan raksasa yang tidak merbahaya ini tetapi selalunya haiwan ini tidak menunggu lama di satu-satu tempat. 

Pada waktu siang, anda boleh memerhati ikan yu sirip hitam berenang berhampiran pantai. Di sebelah malam pula Penyu Karah dan Penyu Agar boleh dilihat naik ke pantai. Terdapat juga kawasan yang dipenuhi pelbagai jenis terumbu karang lembut dan keras yang berwarna-warni di sini iaitu habitat yang sesuai untuk ikan-ikan kecil. 

Salah satu dari 40 tapak selaman skuba yang terdapat di sini ialah Lankayan Wreck di mana bangkai sebuah kapal menunda ikan boleh di terokai penyelam. 

Bangkai kapal ini menjadi tempat kediaman pelbagai jenis ikan dari yang sekecil  hingga ikan pertang dan ikan pari.

Walaupun terpencil, pulau ini mempunyai semua kemudahan sebagai sebuah penginapan  tropika. Pelawat boleh bermalam di banglo kayu yang dibina di celah-celah pokok di pinggiran hutan berhadapan pantai. 

Sememangnya, Lankayan bukan sahaja destinasi bagi penyelam skuba, malahan bagi sesiapa sahaja yang menghargai ketenangan sebuah pulau yang aman yang menawarkan pemandangan matahari terbit dan tenggelam yang mempesona dan pemandangan laut yang hebat.

Pulau Layang- Layang

Pengenalan Pulau Layang Layang

 
Pulau Layang Layang menjadi destinasi selaman skuba yang terkemuka di Malaysia selain Pulau Sipadan. Pulau karang ini terletak di lautan terbuka Laut China Selatan kira-kira 300 km ke barat laut Kota Kinabalu iaitu ibu negeri Sabah. 

Kawasan kecil ini menampung penginapan yang mempunyai 90 buah bilik mewah, sebuah pengkalan tentera laut Malaysia dan menjadi tempat koloni burung laut yang berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain mengikut musim untuk bersarang. Topografi terumbu karang di sini terbentuk dari batu karang keras yang subur dan ada di antaranya yang terletak di kawasan sangat cetek sehingga terdedah kepada udara sewaktu air surut, tetapi kebanyakannya bermula pada kedalaman kira-kira 5 meter hinggalah di dasar laut. 

Antara hidupan laut yang sering kelihatan di 14 tapak selaman skuba di sini termasuk ikan yu sirip hitam, jerung , ikan alu-alu, ikan cermin,  penyu, dan sebagainya.

Pulau Mabul


Pengenalan  Pulau Mabul



Pulau Mabul dikatakan salah satu lokasi fotografi makro terhebat di dunia. Pulau ini yang terletak di perairan jernih Laut Sulawesi tidak jauh dari pantai Sabah di kelilingi terumbu karang yang  sedalam 2 hingga 40 meter. 

Pulau seluas 21 hektar ini lebih besar dari Pulau Sipadan dan menjadi tempat tinggal kaum Bajau Laut yang merupakan salah satu etnik  rakyat pribumi Negeri Sabah. 

Menyelam skuba adalah aktiviti utama di pulau ini dan selaman boleh dijalankan sepanjang tahun. Antara hidupan laut yang terdapat di sini ialah kuda laut, tapak sulaiman,   dan belut ular. Terdapat lebih dari lapan tapak selaman yang popular di sini di mana setiap satu dengan kelebihannya yang tersendiri. 

Terdapat tiga buah penginapan di sini yang menyediakan tempat penginapan untuk penyelam skuba  dua terletak di pulau ini sementara satu lagu terletak di atas sebuah pelantar minyak yang telah diubahsuai kira-kira 500 meter dari pinggir pantai. Kesemua penginapan ini boleh mengatur lawatan sehari ke pulau yang berdekatan iaitu Pulau Sipadan dan Kapalai.

Pulau Lang Tengah

Pulau Lang Tengah


 
    Pulau Lang Tengah ialah sebuah pulau kecil yang terletak di antara Pulau Perhentian dan Pulau Redang. Perjalanan bot dari jeti Marang ke Pulau kecil ini memakan masa selama 30 minit.

   Menurut penduduk tempatan, Lang Tengah mendapat namanya dari perkataan 'Lang' yang bermaksud 'helang'. Dikatakan bahawa Lang Tengah bermakna 'helang yang berehat di pulau tengah'.

   Pulau Lang Tengah memang bersaiz kecil. Perjalanan bot mengelilingi pulau ini hanya mengambil masa selama 10 minit. Pantai di sini agak sempit dan kawasan tanah adalah terhad.

   Saiznya yang kecil juga adalah kelebihannya - Pulau Lang Tengah hanya mempunyai 4 buah peginapan untuk memastikan percutian anda di sini aman dan tenteram.

Pulau ini juga adalah antara tapak menyelam yang terbaik di Malaysia.

Pakej di Pulau Lang Tengah
  • 2 kali Sarapan pagi di tempat penginapan
  • Mempunyai aktiviti snorkeling sebanyak 2 kali
  •  2 kali makan tengah hari
  • 2 kali makan malam
  • Bilik yang berhawa dingin
  • bot yang percuma dari jeti ke Pulau Lang Tengah
  • Harga pakej RM 300.00

Pantai Cherating

Pengenalan Pantai Cherating
 
     Cherating bukanlah pulau tetapi ia seperti pulau yang menyediakan penginapan seperti pulau. Kampung lama Cherating menggabungkan unsur-unsur lama dengan yang moden. Sebatang jalan sepanjang kira-kira 1 km selari dengan pantai di sini dipenuhi deretan calet yang comel dan selesa yang kebanyakannya mengadap pantai Cherating yang bersih. 

      Cherating menawarkan kombinasi ombak laut yang bergulung-gulung menghempas pantai, pantai yang putih bersih, pelbagai tempat penginapan, pilihan tempat makan serta aktiviti hiburan malam istimewa untuk para peluncur papan air. 

      Peluncur papan air meluangkan masa beberapa hari atau beberapa bulan di sini untuk mengambil kesempatan dengan kehadiran ombak laut yang hebat dan berehat bersama peluncur yang lain sambil bertukar cerita tentang pengalaman meluncur air mereka di salah sebuah kelab yang terdapat di situ. 

         Malahan, Kampung Cherating yang lama telah diberi gelaran 'Syurga Peluncur' sejak tahun 70-an. Setiap tahun, para peluncur air dari seluruh dunia kembali ke Cherating bagi mencuba ombak di sini dan singgah melawat rakan-rakan tempatan mereka. Pantai Cherating amat bersih dan mempesona. Penginapan yang popular di dunia seperti Club Med telah membina penginapan Asianya yang pertama di Cherating. 

      Peluncur papan air yang sering berulang ke sini juga mengambil kesempatan meminta rakan-rakan tempatan membawa mereka bersiar-siar di kawasan kampung yang menarik di sepanjang pantai ini sambil menjiwai pemandangan yang mempesona.


Mempunyai :
  • Boleh melihat aktiviti orang pantai Cherating dengan budaya yang kompleks.
  • Boleh melawat tempat penyu bertelur. iaitu dengan harga dewasa RM 120.00 dan kanak-kanak  RM 80.00 seorang. Boleh melawat selama 4 jam sahaja.

  • Cherating mula menjadi tempat tumpuan pengembara sejak bertahun-tahun lamanya. 
  • Kini terdapat pelbagai pilihan tempat penginapan di sini yang merangkumi segalanya dari asrama pengembara yang ringkas hingga hotel mewah bertaraf 4 bintang.
  • boleh melawat perkampungan nelayan dan  termasuk makan.

Pulau Sipadan

Pengenalan Pulau Sipadan




 
    Jacques Cousteau seorang penyelidik laut yang terkenal di dunia menggambarkan Pulau Sipadan sebagai 'hasil seni agung yang tidak diusik manusia', sementara para penyelam skuba di merata dunia memilih pulau ini sebagai salah satu dari lima destinasi menyelam yang terunggul di dunia.

     Pulau Sipadan mempunyai saiz yang agak kecil iaitu seluas 12 hektar dan satu-satunya pulau laut dalam di Malaysia. Pelawat boleh berjalan mengelilingi pulau ini di dalam masa 25 minit sahaja. Ianya terletak kira-kira 700 meter dari aras dasar laut dan menjadi tarikan kepada pelbagai hidupan laut yang datang dari dasar laut. Pulau yang di kelilingi air laut yang bersih dan jernih ini mempunyai kekayaan hidupan laut yang menakjubkan.

     Hutan tebal di pulau ini menampung sejumlah besar spesis burung tropika termasuk helang laut, burung rajawali,dan merpati kayu dan telah diisytiharkan sebagai kawasan perlindungan burung pada tahun 1933 oleh Kerajaan kolonial Borneo Utara dan diwartakan semula pada tahun 1963 oleh Kerajaan Malaysia. Hidupan eksotik termasuk ketam kelapa bertaburan di pantai dan bersembunyi di celah-celah tumbuhan di sini.

    Sewaktu menyelam di sini, para penyelam skuba mempunyai peluang yang tinggi untuk menemui penyu, kumpulan ikan aji-aji dan ikan alu-alu yang banyak terdapat di sekitar perairan pulau terumbu karang ini.


Pakej terdapat di Pulau Sipadan  
  • Rm 280.00
  • Yuran untuk Sipadan National Park RM 40.00
  • Minimum untuk 6 orang sahaja.
  • Bilik mempunyai katil untuk 2 orang satu bilik 
  • Bilik mempunyai kipas
  • Makan disediakan, air dan sebagainya
  • 2 hari 1 malam, Jika ingin menambah tempoh percutian RM 70.00 untuk sehari
  • Aktiviti snorkeling termasuk dalam pakej
 

Wednesday, October 20, 2010

Pulau Kapas

 Pengenalan Pulau Kapas





      Pulau Kapas yang terletak kira-kira 6 km dari pinggir pantai Marang ialah sebuah pulau yang terkenal dengan air lautnya yang jernih, pantai berpasir putih dan lambaian pohon kelapa yang gemalai. Pulau ini yang agak terpencil, jauh dari kesibukan di tanah besar merupakan destinasi yang paling sesuai untuk mereka yang mencari tempat untuk ketenangan dan berehat. Pelbagai jenis batu karang lembut dan keras, ikan, penyu dan hidupan laut lain yang menarik menjadikannya destinasi wajib bagi penyelam skuba dan perenang snokel yang arif.

      Suasana pulau yang santai ini memberi keselesaan kepada pelawat untuk berehat di sini. Selain itu terdapat pelbagai aktiviti di sini untuk memenuhi masa lapang anda. Pilih sahaja kesukaan anda  seperti menyelam, berenang, snokel, luncur papan air, kayak, menaiki bot atau memancing.


Pakej  di Pulau Kapas 


  • Penginapan berhawa dingin dengan Harga RM 100.00
  • Hari biasa = RM168.00
  • Hari minggu= + RM30 .00
  • Cuti Umum = + RM50.00 

 Pakej Sehari sahaja

  • Tempoh hanya 6 hingga 8 jam
  • RM 90.00 seorang
  • Lawatan Ke Taman Lebah  
  • Menaiki Bot Dari Jeti Marang Ke Pulau Kapas
  •  Trip Snorkeling & Makan Tengahari
  •  Menaiki Bot Dari Pulau Kapas Ke Jeti Marang


Pulau Perhentian

 Pengenalan Pulau Perhentian



           Pulau Perhentian sememangya destinasi yang mesti dikunjungi. Pulau ini terletak 21km dari pinggir pantai Terengganu dan terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. Pulau Perhentian yang dilitupi hutan yang bersih, dan mempunyai pepohon kelapa , pantai yang putih dengan pasir yang halus dan dikelilingi air laut yang biru dan jernih merupakan tempat persinggahan nelayan, burung-burung yang berhijrah dan pelancong yang datang bercuti di sini.
 
         Lokasinya di pinggiran kawasan Taman Laut Pulau Redang bermakna perairan di sekitar pulau ini ditaburi terumbu karang dan menawarkan pemandangan bawah laut yang hebat untuk aktiviti menyelam skuba dan snorkeling. Lawatan bot ke pulau-pulau boleh diaturkan dan bot juga boleh disewa oleh pelancong yang ingin meneroka teluk-teluk yang terselindung. Pelancong yang gemarkan aktiviti meluncur papan air, belayar,  dan memancing laut dalam juga mesti berkunjung ke pulau ini.

       Antara dua pulau ini, Pulau Perhentian Kecil lebih sesuai untuk pelancong yang gemar aktiviti lasak. Di sini anda boleh mendapatkan pelbagai pilihan tempat penginapan dan makanan yang murah. Sebaliknya, Pulau Perhentian Besar, lebih membangun dan menawarkan kemudahan yang lebih selesa dan sempurna. Walaubagaimanapun, kemudahan calet, asrama dan tapak perkhemahan boleh di dapati di kedua-dua buah pulau ini.


Pakej di Pulau Perhentian


  • Harga Pakej RM 250.00 hingga RM 400.00

- 2 Malam penginapan dengan calet berkipas/ bilik berhawa dingin (mengikut pakej)
- Bot Pergi balik dari Jeti Kuala Besut ke Pulau Perhentian
- 2 sarapan pagi, 2 makan tengahari, 1 makan malam, 1 Bbq ( mengikut pakej)
- Snorkeling  3 – 4 tempat
- Tiket bayaran masuk ke taman laut

Pulau Tioman

Pengenalan Pulau Tioman




       Pulau Tioman merupakan destinasi percutian yang paling mempersona di Laut China Selatan,pulau ini  terletak kira-kira 56 km dari pantai negeri Pahang. Pulau ini terkenal sebagai salah sebuah destinasi percutian pulau yang terhebat di dunia, Pulau Tioman pernah menjadi lokasi penggambaran filem muzikal antarabangsa 'South Pacific'  pada tahun 1959.

         Menurut cerita lagenda, pulau ini merupakan tempat tinggal puteri naga dongeng. Perairan yang suam dan jarak penglihatan yang tinggi di bawah laut menjadikan Pulau Tioman destinasi popular di kalangan penyelam. 

    Saksikan pemandangan yang mengagumkan termasuk karang lembut dan pelbagai bentuk hidupan laut yang indah. Penyelam berpeluang berenang disisi ikan yang besar, ikan Golden Striped Trevally, Bumphead Parrotfish dan kumpulan ikan Fusiliers.

      Terdapat beberapa buah perkampungan di sepanjang pantai di sekeliling pulau ini, antaranya Kampung Salang, Tekek, Genting, Paya dan Juara. Setiap kampung menawarkan suasana yang berbeza dan unik. Kawasan pedalaman Pulau Tioman yang berhutan juga menjadi tempat tinggal pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan kecil termasuk rama-rama, mengkarung, rusa dan monyet.

      Tumbuhan dan haiwan liar yang terdapat di Pulau Tioman juga pernah dipaparkan di dalam dokumentari National Geographic. Formasi batu granit yang membentuk pulau ini menjadikannya lokasi yang hebat untuk aktiviti memanjat batu. 

       Bagi mereka yang lebih berani, boleh mencuba memanjat tebing Gunung Nenek Semukut (juga bergelar Dragon's Horns). Berjaya Tioman Beach, menawarkan tempat penginapan yang mewah, berlatar belakangkan pemandangan bukit-bukau yang beralun.

Pakej Di Pulau Tioman

JENIS DAN KADAR PAKEJ

Pakej 2 hari 1 malam (2H1M)
Kategori Bilik berhawa dingin Bilik berkipas
Pakej meliputi •Tambang feri pergi dan balik (Mersing-Tioman-Mersing) •Penginapan calet untuk 1 malam • 3 kali makan (1 kali sarapan + 1 kali makan tengahari + 2 kali makan malam + 1 kali BBQ )
A RM235.00 RM200.00
B RM225.00 RM190.00
C RM265.00 -

Pakej 3 hari 2 malam (3H2M)
Kategori Bilik berhawa dingin Bilik berkipas
Pakej meliputi •Tambang feri pergi dan balik (Mersing-Tioman-Mersing) •Penginapan calet untuk 2 malam • 5 kali makan (2 kali sarapan + 1 kali makan tengahari + 1 kali makan malam + 1 kali BBQ ) •setengah hari lawatan pulau • setengah hari aktiviti snorkeling (atas permintaan)
A RM295.00 RM270.00
B RM285.00 RM260.00
C RM325.00 -

Pakej 4 hari 3 malam (4H3M) [terkini]
Kategori Bilik berhawa dingin Bilik berkipas
Pakej meliputi •Tambang feri laju untuk pergi dan balik (Mersing-Tioman-Mersing)• Penginapan calet untuk 3 malam • 8 kali makan (3 kali sarapan + 2 kali makan tengahari + 2 kali makan malam + 1 kali BBQ ) • 1 hari lawatan pulau • 1 hari aktiviti snorkeling  (atas permintaan).
A RM355.00 RM310.00
B RM325.00 RM200.00
C RM350.00 -


Kadar Sewa Bilik Sahaja

 • Kadar penginapan calet untuk setiap 1 malam
Penginapan Berhawa Dingin Tidak berhawa dingin
A RM80.00 / bilik RM60.00  / bilik
B RM100.00  / bilik RM80.00  / bilik
C RM150.00 / bilik -

Pulau Redang

Pengenalan Pulau Redang
 
      Pulau Redang yang terletak 45 km dari pinggir pantai Kuala Terengganu merupakan pulau terbesar dari gugusan sembilan buah pulau yang terlindung di Laut China Selatan.
Pulau ini mempunyai air laut yang jernih dan beraneka tapak selaman skuba bagi penggemar aktiviti menyelam. Perairan yang terlindung di sekitar Taman Laut Pulau Redang ini kaya dengan pelbagai jenis hidupan laut yang cantik dan menarik. 

       Pada waktu tengahari, apabila matahari bersinar terang menebusi air laut, kelihatan jelas terumbu karang yang beraneka jenis dan ikan-ikan yang berwarna-warni di Perairan di sekitar Pulau Redang juga mengandungi dua bangkai kapal karam : Kapal H.M.S. Prince of  Wales dan H.M.S. Repulse yang karam di sini sewaktu Perang Dunia Kedua yang membolehkan tentera Jepun menakluki Malaya.

       Pulau yang indah ini amat sesuai untuk aktiviti snokel, berenang, menyelam skuba, merentas hutan, menaiki bot . Oleh kerana Pulau Redang telah diwartakan sebagai Taman Laut, aktiviti memancing tidak dibenarkan dalam kawasan lingkungan sejauh 3.2 km dari pulau.
Pelawat juga dilarang mengumpul batu karang atau sebarang hidupan laut yang lain. Berjaya Resort di sini menawarkan kemudahan padang golf dengan persekitaran yang mempesonakan.


Pakej Di Pulau Redang

Agen : SAMPUGITA HOLIDAYS SDN BHD
No Rujukan. : 3167
Tempoh percutian : 3 hari 2 malam
Harga : RM 350.00
Tempoh percutian : 28 Jun 2010 - 31 Dec 2010
Pakej Termasuk
  • Bilik yang berhawa dingin
  • Pengankutan percuma dari Merang Pulau Redang
  • Aktiviti yang percuma iaitu snorkeling dan menyelam
  • Makan pagi dan tengah hari untuk sekali sahaja.






















Pulau Langkawi

                                           Pengenalan Kepada Pulau Langkawi



       Langkawi adalah gugusan 99 buah pulau yang terletak di luar pesisiran pantai Kedah. Ia sebuah pulau lagenda yang penuh misteri, selain pusat pelancongan yang bertaraf antarabangsa.
Tanyalah sesiapa saja di pulau ini, tentang kisah seorang wanita cantik bernama Mahsuri. Anda akan mendengar kisah cinta, cemburu, dan sumpah yang diletakkan ke atas pulau ini selama tujuh keturunan.
Nikmati keindahan alam semulajadi serta ketenangan landskap padi di sini dengan memandu di seluruh pulau ini.
Anda juga boleh melawat Padang Beras Terbakar, Telaga Air Panas, Telaga Tujuh, dan Pantai Pasir Hitam. Terdapat juga lawatan menggunakan bot ke Tasik Dayang Bunting, Gua Cerita dan Gua Langsir.

Jika anda seorang yang gemar cabaran yang lasak, anda boleh juga menjelajah kawasan hutan di Langkawi, menaiki bot mengelilingi kawasan paya bakau, menyelam, atau bermain golf di pusat peranginan bertaraf lima bintang di pulau ini.



Pakej Yang Terdapat Di Pulau Langkawi 


Pakej Biasa

  • 3 hari 2 malam
  • Boleh pilih mana-mana hotel yang  diminati 
  • Sarapan yang percuma di hotel
  • Pengankutan percuma dari jeti ke hotel
  • Harga pakej RM 1 58.00.
  • setiap hari di kenakan caj untuk pengangkutan yang digunakan

Pakej Untuk Pelajar

Agen : Sebagus Travel & Tours Sdn Bhd
 No rujukan. : 2597
Tempoh : 3 hari 2 malam
Harga : RM 270.00.
Tempoh percutian : 29 Jun 2010 - 31 Dec 2010
Tarikh tempah : 29 Jun 2010 - 31 Dec 2010 
 Pakej terdiri daripada
  •  Tiket feri pergi dan balik dari Kuala Perlis ke Langkawi 
  • 2 kali sarapan pagi, 1 kali makan tengah hari, 2 kali makan malam
  • 1 hari untuk menikmati keindahan pulau bersama pemandu pelancong.